Ikuti Blog ini

Pertemuan dengan Mufti Perak - Dato' Dr Hasan Ali (Video)



Penjelasan YB Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor mengenai pertemuannya dengan Dato' Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, semasa merasmikan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, di Auditorium MBSA Shah Alam, pada 25 Julai 2010.

Harussani Berbohong...




DPP Farah didakwa ‘bercinta’ Saiful digugur dari pasukan pendakwa

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tindakan itu ekoran dakwaan bahawa Farah Azlina menjalin hubungan romantik dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan saksi utama kes tersebut.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani (gambar) berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

“Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius,” katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

“Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

Semalam peguam Anwar mendesak Peguam Negara memberi respons kepada dakwaan Raja Petra Kamarudin dalam blognya minggu lalu.

Raja Petra mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwa, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof.

Pasukan pendakwa terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina sendiri.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hamil Di Kalangan Pelajar; Pemimpin Kerajaan Abaikan Kaedah Islam

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita30/bahana%20nafsu.jpgKenyataan Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Ali Rustam berkaitan Sekolah Untuk Pelajar Hamil Tetap diTubuhkan, menunjukkan betapa sangat seriusnya isu pelajar perempuan mengandung disebabkan perzinaan dan pengguguran bayi berlaku secara berleluasa di negara ini.

Jarang berlaku pertembungan kenyataan di antara Menteri / Timbalan di Peringkat pusat dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri. Tetapi dalam kes ini Ketua Menteri Melaka bertegas untuk menubuhkan sekolah khas walaupun disanggah oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

Adalah amat malang bagi Umat Islam apabila berhadapan dengan isu pembuangan bayi dan mengandung kerana perzinaan tidak ditangani sewajarnya berdasarkan sebab-sebab asal berlakunya masalah ini; seperti pergaulan bebas, hiburan liar dan wujudnya pusat-pusat maksiat di segenap pelusuk negara.

Alangkah baiknya jika langkah-langkah pencegahan dilakukan di samping langkah pemulihan dilakukan.

Perlu diingatkan bahawa undang-undang Islam dan feqah Islam mampu bagi menangani isu-isu sebegini. Di mana kejujuran mereka yang memimpin negara dan ulama dalam kerajaan yang mengabaikan keperluan menyelesaikan masalah secara Islam.

PAS menggesa masyarakat agar mengambil langkah-langkah bagi melaksanakan perintah Amar Maaruf dan Nahi Mungkar dengan sebaiknya dan menggesa rakyat, khususnya Umat Islam menunaikan amanah dengan memilih kerajaan yang jujur dalam menegakkan kesejahteraan dan keadilan rakyat.

Isu pelajar mengandung, penguguran dan pembuangan bayi telah meresahkan keharmonian masyarakat dan menunjukkan musnahnya institusi kekeluargaan negara.

Dato’ Ustaz Abu Bakar bin Chik
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat

27 Julai 2010/ Kuala Terengganu

Sukan ekstrem: Unit Amal Selangor dekati remaja

SHAH ALAM, 27 Julai: Beberapa jenis sukan ekstrem bakal diperkenalkan kepada remaja yang mengikuti Muqayyam Amal Selangor pada Jumaat hingga Ahad ini, kata pengarah programnya, Mohd Azmi Anuar (gambar).

"Yang menarik pada program Unit Amal negeri kali ini ialah kita memperkenalkan beberapa sukan ekstrem khusus untu pelapis baru di kalangan remaja," ujarnya pagi tadi di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau yang juga Pengarah Unit Amal Selangor berkata, percubaan terbaru itu wajar dianggap sebagai pendekatan tarbiah yang dinamik selari dengan tanggungjawab asasi Unit Amal Malaysia, iaitu beramal kerana Allah serta berkhidmat untuk rakyat.

Tambahnya lagi, mereka yang menyertai perkhemahan tiga hari dua malam kali ini turut berpeluang menempuhi kehidupan survival dakwah ala 'Explorace Hutan' bersama-sama masyarakat Orang Asal di Kampung Bakong, Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang.

Mereka yang terbabit, katanya, turut berpeluang untuk berinteraksi secara eksklusif dengan dua tetamu jemputan iaitu Mohamad Sabu (AJK PAS Pusat) dan Nasrudin Hassan at-Tantawi (Ketua Pemuda PAS Pusat).

Difahamkan, penganjur telahpun menerima lebih 70 penyertaan sejak program terbaru itu diwar-warkan di peringkat PAS kawasan dan cawangan dua hari lalu.

Sebarang maklum balas lanjut atau penyertaan boleh dibuat dengan menghubungi Masadi (019-3755773) atau Azmi (019-2568820).

Untuk Selamatkan Kekayaan Dan Kuasa Najib-Rosmah Wajib Lakukan 3 Perkara Ini

3 perkara wajib bagi Najib-Rosmah Oleh Hishamuddin Rais

Tiga perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan Najib-Rosmah untuk menyelamat harta kekayaan dan kuasa mereka daripada dirampas kembali oleh kuasa orang ramai.

Tiga perkara ini bukan terlalu susah untuk difikirkan. Malah ianya tidak memerlukan bantuan penasihat zionis APCO untuk memunculkan perancangan. Kita sendiri boleh memikirkan tiga pekara ini tanpa memerlukan ijazah PPE dari Oxford. Tahap jaguh kampung dan gedebe politik seperti Ibrahim Ali pun sedar hal ini.

Tiga pekara ini ialah:

1. Anwar Ibrahim mesti di ketepikan;
2. Parti PAS wajib dipisahkan dari Pakatan Rakyat; dan
3. Propaganda untuk menghuru-harakan Parti Keadilan Rakyat wajib diperbesarkan

Ketiga-tiga perkara ini wajib berjalan sarentak. Untuk kerajaan Najib-Rosmah, tiga perkara ini lebih penting daripada dasar ekonomi baru atau model ekonomi baru. Lebih penting dari dasar luar negara. Lebih penting dari Rancangan Malaysia ke-10. Kerana rancangan ini begitu penting sekali, maka kerajaan Najib-Rosmah akan menjanjikan apa saja untuk memastikan tiga pekara ini dapat direalisasikan.

Kerajaan Najib-Rosmah tahu, sedar dan merasakan bahawa susuk Anwar Ibrahim memainkan peranan yang amat penting dalam ikatan setiakawan Pakatan Rakyat. Dengan adanya susuk Anwar maka Pakatan Rakyat dapat berdiri teguh. Mengikut pandangan Najib Rosmah, jika Anwar 'diketepikan' maka Pakatan Rakyat akan londeh terbarai. Sama ada ini hakikat atau sebaliknya bukan penting. Yang penting inilah persepsi politik mereka. Politik bukan kebenaran – politik ialah persepsi.

Apa yang kita lihat hari ini - apa yang sedang berlaku di lanskap politik negara ialah gerak kerja jentera dan apparatcik politik Najib-Rosmah sedang menjalankan tugas untuk meminggirkan Anwar.

Dalam strategi politik, langkah pertama sebelum musuh diserang ialah melahirkan satu imej buruk musuh. Ini penting untuk mengolah persetujuan orang ramai. Ketika perang dunia kedua dahulu, tentera Jepun digambarkan bermata sepet, bergigi jongang membawa pedang samurai. Sesudah perang tamat, Jepun dilihat sebagai kawan dan rakan berniaga yang baik. Memunculkan imej hodoh ini amat penting. Jika imej telah buruk maka apa sahaja yang diperkatakan terhadap Anwar akan diyakini umum.

Strategi baru

Langkah pertama ialah mengaitkan Anwar dengan Saiful. Ini juga bukanlah satu langkah yang bijak bergeliga. Menggunakan kes liwat yang diadukan oleh Saiful, telah diteroka lebih awal lagi oleh Mahathir Mohamad pada 1998 dahulu melalui kes seumpamanya terhadap Azizan Abu Bakar.

Apabila Saiful diberitakan tidak membuang air besar selama dua hari kerana menyimpan bahan bukti di dalam duburnya, maka tahap jenaka dan genre lawak Melayu telah melonjak tinggi. Rating Lebai Malang dan Pak Pandir berkemungkinan jatuh. Apek Senario telah menjadi lawak basi. Lubang Saiful naik ke mercu kegemilangan.

Seperti kes Azizan, kes liwat Saiful juga telah tergelincir. Kelihatan propaganda berbentuk ini telah menjelak dan menjelikkan orang ramai. Ini mula disedari oleh Najib-Rosmah. Propaganda kes Saiful yang dirancang untuk memburukan Anwar telah menjadi lawak bodoh dan sedang melawan tuan.

Dengan cepat para apparatcik dan jentera Najib-Rosmah bergerak. Kali ini wajib dimunculkan satu lagi strategi baru – ejen asing. Harus disedari bahawa surah - ejen asing - ini juga telah mula muncul pada 1998. Ketika itu duta Amerika ke Malaysia ialah John R Malot.

Dalam kes pertama tahun 1998, memang telah disebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim ini adalah ejen CIA. Apabila berita ini tersebar, kerajaan Amerika telah mengambil langkah yang tepat.

Menurut Pak Duta John R Malot - kerajaan Malaysia telah diberi amaran - jangan campur adukkan kerajaan Amerika dengan krisis dalaman politik Malaysia. Bila amaran ini sampai, maka surah Anwar ejen Amerika pun mati tak berasap.

Pasti perkara yang sama juga telah terjadi sekali lagi, kerana dengan tetiba sahaja media gerombolan hari ini, tidak lagi melaung-laungkan surah ejen asing ini. Pentabiran di Rumah Putih melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai krisis dalaman - tidak ada sangkut paut dengan jabatan risikan mereka. Justeru apabila dikaitkan Anwar dengan CIA, maka pasti pentabiran Obama ini, seperti tahun 1998, telah mengambil pendirian yang sama.

Langkah kedua yang sedang di jalankan oleh apparatcik dan jentera Najib-Rosmah ialah memastikan parti PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adalah langkah yang amat strategik dan penting. Kerajaan Najib Rosmah membaca jika PAS dapat dipisahkan dari Pakatan, maka dengan segera Pakatan Rakyat akan luntur dan pecah.

'Merebut kuasa'

Kita harus menyedari bahawa walaupun PAS mengakui parti Islam - ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki dalam politik. Kita semua boleh mengakui bermacam-macam. Dalam politik yang direbutkan bukan Allah, Yahwe atau Siddarttha. Politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa.

Kuasa diperlukan untuk memastikan lubuk kekayaan dimiliki. Apabila lubuk kekayaan telah dimiliki maka di sinilah akan diuji sama ada parti itu bermazhab sosialis atau kapitalis.

Dalam dunia hanya ada dua sistem ekonomi - kapitalis atau sosialis. Dua sistem ini adalah sistem induk. Selainnya - yang mengakui sistem ini dan sistem itu - hanya pecah-pecahan dari dua sistem ekonomi ini. Seperti kuih bahulu – asasnya adalah tepung, gula dan telur. Warna, corak, rekabentuk hanya tokok tambah untuk mengolah keinginan orang ramai.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ini, ada pemimpin PAS yang akan, yang telah dan yang sedang tewas dengan kuasa dan harta kekayaan. Contohnya, kes cerai bekas ADUN PAS dengan isteri keduanya. Sang isteri sedang menuntut berjuta-juta ringgit. Ini kerana sang isteri tahu bahawa sang suami - ketika berkuasa dahulu - pasti ada tanah di sana dan tanah di sini, Ada saham ini dan saham itu. Ini realpolitik. Ianya tidak pula bermakna kita merendahkan keyakinan mereka terhadap Yang Maha Esa.

United Malays National Organisation sedar hal ini. PAS bukan mengajukan sistem ekonomi alternatif kepada kapitalisma. PAS seperti PKR dan DAP, hanya berjanji untuk menguruskan kapitalisme dengan lebih baik. Asas sistemnya masih kapitalisme. Ini hakikat. Ini realpolitik. United Malays National Organisation tahu siapa yang bercita-cita hendak menjadi menteri besar dalam PAS. Gerombolan mengetahui siapa dan siapa yang boleh 'dimakan' di dalam PAS. Gerombolan juga tahu siapa yang bermimpi siang dan malam - pagi dan petang - untuk menjadi menteri kabinet dalam kerajaan Najib-Rosmah.

Ini juga hakikat realpolitik. Menafikan ini adalah menafikan bahawa manusia, haiwan dan tumbuhan hidup di alam ini kerana ada cahaya matahari. United Malays National Organisation akan terus mengasak untuk 'berunding' dengan PAS. Akan terdengar suara suara lantang menolak. Akan terdengar suara-suara pimpinan PAS menafikan itu dan ini. Dalam realpolitik semua berkemungkinan. Dalam realpolitik, yang dicita-citakan ialah kuasa. Dengan kuasa manusia berpeluang menobatkan dirinya dan mengumpul harta.

Waspada! Percubaan dan langkah-langkah yang diambil oleh Najib-Rosmah untuk berunding dengan PAS ini tidak ada sangkut paut dengan Najib sebagai anak Razak. Kerana Razak dahulu berunding dengan PAS maka Najib sang anak, juga akan berunding dengan PAS. Ini bukan bacaan politik. Ini sembang di warung Mek Jah. Dalam realpolitik yang hakiki ialah kuasa.

Keinginan berunding dengan PAS ini adalah perhitungan realpolitik. Ini kerana sesudah pilihanraya yang lalu United Malays National Organisation telah dilihat sedang menuju ke hari-hari akhir. Justeru untuk menyelamatkan harta kekayaan, perpaduan Pakatan Pakyat yang kompak, wajib dilemahkan.

Setiakawan Pakatan

Kota yang kukuh wajib dibocorkan. Setiakawan Pakatan Rakyat yang mekar wajib dikacau-bilaukan. PAS wajib dipisahkan dari Pakatan. Kalau tidak semua, sebahagiannya. Ini perhitungan politik untuk menyelamatkan harta dan kuasa.

Lalu kita sampai ke strategi ketiga - mengharu-birukan kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Kelantan tidak perlu diganggu-gugat kerana slogan 'kita semua Melayu dan kita semua Islam.' Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang boleh digugat tetapi 'slow sikit' kerana

DAP ini lebih senang dikawal kerana Kecinaan mereka. Ahli gerombolan yang meninggalkan parti tidak mungkin akan menjadi ahli DAP.Malah DAP ini juga boleh dibawa berunding jika hari baik dan bulan baik – jika masa dan ketikanya telah ranum. Justeru musuh utama ialah Parti

Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Lalu semua akan dilakukan untuk menggangu-gugat kerajaan Pakatan di Selangor. Lembu, kambing, pasir, tayar kereta, surau, masjid, kuil, sekolah, kasut, punggung - malah apa sahaja yang bersangkutan dengan kerjaaan Selangor - akan digunakan untuk menunjukkan kepada warga Selangor bahawa kerajaan Pakatan ini tidak perlu disokong.

apparatcik dan jentera kerajaan federal sedang digunakan oleh Najib-Rosmah untuk melemahkan kerajaan Selangor. Kes demi kes telah dibuka oleh SPRM terhadap pimpinan kerajaan Selangor. Semua dilakukan untuk menekan agar ada ADUN PKR yang akan berpaling tadah.

Media gerombolan telah digunakan hingga ke tahap maksimum untuk mengolah persetujuan orang ramai. Seluruh Malaysia cuba diberi tahu bahawa krisis yang amat besar sedang melanda kepimpinan kerajaan Selangor. Kerajaan Selangor ini akan runtuh bila-bila masa sahaja dan Khir Toyo boleh kembali berpesta ke Disneyland tanpa soal jawab.

Di mana akhirnya semua ini? Dalam merancang realpolitik, Anwar Ibrahim pasti akan diketepikan. Ini strategi utama. Susuk ini tidak akan diberi peluang untuk bebas bergerak. Jika diikutkan hati nafsu Najib-Rosmah, susuk Anwar ini akan diketepikan sebelum piliharaya Sarawak.

Tetapi bagaimana nanti reaksi kawan-kawan Yahudi Anwar yang selalu diperkatakan itu? Dan bagaimana pula ejen-ejen CIA yang lain? Apakah mereka juga akan datang untuk membantu Anwar? Kini seperti kes Saiful, senjata dan propaganda akan memakan tuannya.

Dalam realpolitik ada yang lebih 'real''. Yang lebih 'real' ialah kuasa rakyat. Kerajaan Selangor mungkin goyang tetapi tidak akan runtuh kerana akarnya semakin kukuh. Kuasa rakyat ini jugalah yang akan menentukan apa yang akan terjadi kepada Anwar Ibrahim.

Justeru United Malays National Organisation hanya ada satu pilihan: mengajak PAS datang berunding. Najib dalam keadaan ini akan menjanjikan apa sahaja. Kalau PAS minta Najib melempang Muhyiddin - pasti Muhyiddin akan kena satu pelempang. Kalau PAS mahu Najib menampar Khairy Jamaluddin - pasti Khairy akan ditampar. Seperti Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang, Najib akan melakukan apa sahaja kecuali PAS tidak akan dibenarkan bertanya berapa orang sebenarnya anak Rosmah Mansor. -GB

Kkedah laksana janji negeri kebajikan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah merealisasikan janji pilihan raya untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri berkebajikan dengan mengumumkan kenaikan kadar minimum bantuan amnya mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM14 juta pada tahun ini yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu.

Menurutnya, jumlah peruntukkan tersebut akan ditambah berikutan kerajaan menaikkan kadar minimum Bantuan Am Negeri kepada RM150 mulai tahun hadapan.

"Bajet 2011 akan datang, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM1.6 juta untuk tujuan tersebut.

“Ini tentang kebajikan rakyat di mana orang miskin amat bergantung kepada pertolongan dan kita kena selesaikan masalah itu dengan secepat mungkin,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Am Kerajaan Negeri di perkarangan Pejabat Daerah Padang Terap.

kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan Skim Kafalah kepada keluarga si mati yang mendaftar melalui e-Sinar dan bantuan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

“Kita menyediakan bantuan itu kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa mengira politik dan kita berharap bantuan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga terbabit,”.

kerajaan juga akan memberi sumbangan kepada golongan guru agama di kampung-kampung yang banyak berjasa mendidik anak-anak bangsa di negeri itu.

Malaysiakini, Zunar saman KDN

Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Zunar (kiri) berkata, pengharaman itu merupakan cubaan untuk menekan ekspresi politik dan membataskan pertukaran idea dan pendapat di kalangan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan kami pengharaman seperti ini tidak perlu dalam sebuah negara demokrasi seperti ini," katanya dalam sidang media selepas memfailkan saman itu di kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran (bawah) pula berkata, pengharaman itu atas alasan "boleh mengancam ketenteraman awam" merupakan tidak adil sedangkan tiada penjelasan yang jelas diberikan oleh kerajaan.

Kementerian itu juga didakwa tidak memberikan peluang kepada Zunar dan Malaysiakini untuk memberikan respons.

"Selepas buku-buku itu dirampas, Malaysiakini menulis bagi berdialog dengan kementerian tetapi mereka tidak menjawabnya," katanya.

Buku terbitan Malaysiakini, 1Funny Malaysia dan Perak Datul Kartun - diterbitkan syarikat Zunar, Sepakat Efektif Sdn Bhd - dilarang daripada dipamerkan bermula 24 Jun lalu.

Zunar berkata sebelum diharamkan sebanyak 20,000 naskhah Perak Darul Kartun dijual manakala 1Funny Malaysia yang baru memasuki cetakan kedua hanya sempat beredar sebanyak 5,000 naskhah.

Zunar dan Malaysiakini diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .